Nuffnangku...

Khamis, 17 Februari 2011

Hukum Mewarna Rambut

gambar ikhsan cik google...
Mewarna rambut dari sudut pandangan Islam
Sekadar untuk berkongsi.......

PERBUATAN mewarna rambut bukanlah perkara baru dalam masyarakat kita. Tanpa mengira usia sama ada muda atau pun tua terdapat kecenderungan mereka untuk mengubah warna rambut dengan pelbagai warna yang disukainya. Persoalannya adakah orang Islam yang mengamalkannya ini memahami hukam-hakam yang berkaitan dengannya atau ia hanya sekadar ikutan semasa.

Islam sangat menitikberatkan umatnya supaya mempunyai budaya dan identitinya tersendiri. Oleh sebab itulah penghayatan akidah, muamalah dan akhlak serta tradisi yang ada pada umat Islam tidak boleh sama dengan umat lain. Islam jelas melarang umatnya meniru atau menyerupai budaya dan cara hidup orang bukan Islam.

Dalam hadis riwayat Abu Daud, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud; “Sesiapa yang menyerupai satu kaum maka ia tergolong dalam kumpulan mereka.” Tidak syak lagi meniru budaya asing secara melulu tanpa memikirkan kesannya adalah suatu amalan yang salah dan membuktikan ikutan kepada sesuatu bangsa.

Tujuan utama mewarnakan uban sama ada rambut atau janggut adalah menghias diri. Satu hadis yang menyebut berkaitan dengan penjagaan rambut yang diriwayatkan oleh Abu Daud, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud; “Sesiapa yang menyimpan rambut hendaklah ia mengemaskannya.”

Mengemaskan rambut ertinya tidak membiarkan kusut masai, tidak terurus dan mengerbang apabila ditiup angin. Sebaliknya ia hendakah dibersihkan setiap hari, disikat dan disapu minyak. Demikian juga pada kebersihan anggota tubuh lain supaya ia sentiasa dijaga.

Menyingkap amalan Rasulullah saw terhadap perbuatan ini, ulama berbeza-beza pendapat dalam menyatakan sama ada Rasulullah saw mewarnakan rambutnya yang telah beruban atau tidak. Pertama; golongan yang menyatakan bahawa Rasulullah saw tidak mewarnakan rambutnya yang telah beruban. Mereka berasaskan soalan Muhammad Ibn Sirin kepada Anas Ibn Malik, adakah Rasulullah SAW mewarnakan rambutnya?

“Dari Ibn Sirin katanya, “Saya bertanya Anas adakah Nabi mewarnakan rambutnya? Kata Anas, “ubannya hanya sedikit saja.”

Kata-kata Anas ini mempunyai kesamaran. Ini kerana beliau tidak menjawab dengan nyata pertanyaan Ibn Sirin, sama ada Rasulullah saw mewarnakan rambutnya atau tidak. Untuk penjelasan yang lebih tepat, Thabit berkata: Anas ditanya buat kali kedua mengenai soalan yang sama dan jawapannya yang diriwayatkan dari hadis yang bermaksud; “(Uban Rasulullah saw) hanyalah sedikit untuk dicelup dengan warna, sekiranya aku mahu, nescaya aku dapat mengira jumlah helaian uban yang terdapat pada janggutnya.”

Dalam penjelasan kali ini jelaslah bahawa Anas mengatakan bahawa uban pada rambut dan janggut Rasulullah saw adalah sedikit, tidak memadai untuk di warna ubannya.


Golongan yang mengatakan bahawa Rasulullah saw mewarnakan rambutnya yang beruban adalah berdasarkan peristiwa yang diriwayatkan oleh Ibn Wahab dan juga pendapat-pendapat lain. Kenyataan yang pertama berdasarkan hadis; “Aku melihat beberapa helai rambut yang berwarna merah.”

Kenyataan yang kedua pula berdasarkan hadis; “Aku masuk menemui Ummi Salamah, maka dia mengeluarkan beberapa helai rambut Rasulullah saw yang diwarnakan kepada kami.’


“Ummi Salamah memperlihat kepadanya rambut Rasulullah saw yang bewarna merah.”

Ketiga-tiga kenyataan ini cuba menerangkan bahawa Rasulullah saw mewarnakan uban rambut baginda dengan warna umumnya dengan warna merah.

Sementara amalan sahabat yang telah mewarnakan rambut, ulama sepakat mengatakan ada kalangan sahabat yang mewarnakan uban mereka, sama ada pada rambut atau pada janggut. Sebahagian besar para sahabat terkemuka mengubah warna uban rambut mereka sama ada warna merah, kuning, atau pun hitam. Namun terdapat mereka yang membiarkan warna uban mereka putih tanpa diubah kepada sebarang warna.

Orang yang mula-mula disuruh oleh Rasulullah saw mewarnakan uban pada janggut dan rambutnya ialah Abu Qafahah iaitu bapa Saidina Abu Bakar pada hari pembukaan Makkah. Apabila Rasulullah saw melihat janggut dan rambut putih seperti kapas Rasulullah saw pun bersabda yang bermaksud; “Ubahlah ini (janggut dan rambut) dengan sesuatu dan hendaklah kamu jauhi warna hitam.”

Kemudian ada riwayat yang menyebut bahawa ramai sahabat yang mewarnakan rambut mereka yang telah beruban. Antaranya ialah Abu Bakar as-Siddiq yang mewarnakan janggut dan rambutnya dengan inai dan katm (celupan yang bewarna merah kehitaman). Ini terbukti dengan kata-kata Anas yang menyebut bahawa Abu Bakar dan Umar mewarnakan rambut mereka.

Sahabat lain pula ialah Ibn Umar, Mughairah, Jaril al-Banjali, Abu Hurairah, Abu Wasil, Hassan dan Husin. Sementara sahabat yang tidak mewarna uban mereka secara umumnya bukanlah menafikan keharusan mewarna rambut tetapi rata-rata mereka menganggap diri mereka tidak layak lagi untuk mengubah warna uban lalu membiarkan saja uban putih memenuhi rambut mereka. - Rencana sumbangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)

Tiada ulasan: